KUALA LUMPUR, 15 Okt – Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin
mengajak anggota jawatankuasa pergerakan itu yang baharu dipilih agar
bersama-samanya memperkukuh sayap Pemuda berlandaskan ideologi progresif.
Katanya bakti yang ditabur kepada rakyat juga harus dilakukan
dengan jujur dan ikhlas.
“Tak guna kita popular dalam parti tapi ditolak oleh rakyat.
Akhirnya rakyat juga yang bakal menentukan kepimpinan negara,” katanya menerusi
laman Facebook beliau hari ini.
Beliau juga berterima kasih kepada perwakilan yang mengundi beliau
sehingga berjaya mempertahankan jawatannya untuk meneraju sayap itu bagi
penggal baharu.
“Sokongan padu perwakilan di seluruh negara menginsafkan saya dan
membuatkan saya sedar akan amanah dan tanggungjawab yang berat ini. Ini
membuktikan perwakilan akar umbi menyokong agenda progresif dan politik
penyelesaian yang saya amalkan selama ini,” katanya.
Khairy berkata kejayaan itu juga merupakan satu manifestasi bahawa
sayap Pemuda utuh dan kekal bersatu.
“Saya yakin kesatuan ini akan memudahkan gerak kerja Pemuda dalam
mendekati dan menyakinkan generasi muda amnya,” katanya lagi.
Dalam pemilihan yang berlangsung Sabtu lepas, Khairy dicabar oleh
Syed Rosli Syed Harman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi,Irwan Ambak Khalid
Izhar dan Abd Karim Ali bagi jawatan itu.
sumber: Pemuda
sumber: Pemuda
No comments:
Post a Comment