Sunday 27 October 2013

Bajet2014 Bertanggungjawab Dan Renponsif Terhadap Keluhan Rakyat - Syaiful Rizal

Bajet 2014 merupakan bajet yang bertanggungjawab dan responsif terhadap keluhan rakyat yang dibebani dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, tindakan pembangkang yang menuduh Bajet 2014 sebagai bajet yang menghukum rakyat dan sebagainya memang sudah diduga kerana mereka hanya ingin meracuni pemikiran rakyat.

“Insentif pembinaan rumah mampu milik dan inisiatif kerajaan untuk mengekang kegiatan speculator hartanah disambut baik Pergerakan Pemuda UMNO Johor Bahru memandangkan isu pemilihan  rumah adalah isu yang cukup menekan golongan muda dalam Bandar seperti di Johor Bahru ini.

Dalam masa yang sama, peningkatan BR1M yang akan turut dinikmati oleh isi rumah berpendapatan antara RM 3ribu hingga RM4ribu serta pelepasan cukai RM2ribu bagi pendapatan RM4ribu hingga RM8ribu turut melegakan golongan pertengahan yang selama ini tidak banyak diberikan perhatian dan pembelaan,” ujarnya mengulas tindakan pihak pembangkang yang menidakkan Bajet 2014 dengan menuduh ianya bajet menghukum rakyat.

Tambahnya, tiada apa yang baik di mata pembangkang. Jika bajet yg dibuat sarat dengan subsidi dan inisiatif untuk membantu rakyat maka, ia pasti akan dilabel sebagai Bajet Gula-gula

“Begitu juga sebaliknya, jika bajet lebih kpd mengukuhkan asas ekonomi dan mendisiplinkan rakyat melalui belanjawan berhemah ia akan dilabel sebagai menghukum rakyat.


Pemuda UMNO Johor Bahru kesal dengan sikap pembangkang yang hanya berminat meraih keuntungan politik daripada bergandingan bahu dengan kerajaan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” ujarnya lagi. 

Wednesday 16 October 2013

Syaiful ikrar kukuh perpaduan Pemuda JB

JOHOR BAHRU 14 Okt. - Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru yang baharu, Syaiful Rizal Abdul Ghani, 39, berikrar mahu memastikan perpaduan sekali gus merapatkan saf dalam kalangan ahli pergerakan berkenaan.

Beliau yang merupakan bekas Setiausaha Pemuda UMNO bahagian menyifatkan kemenangan itu sebagai tanggungjawab yang perlu digalas terutama dalam usaha mempersiap sayap berkenaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Syaiful Rizal yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta juga mahu meneruskan usaha menarik lebih ramai golongan muda menyertai parti keramat Melayu itu dengan menggerakkan Pemuda bahagian secara aktif bagi tujuan tersebut.

"Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan yang jelas mandat sudah diberikan kepada saya, sekali gus akan memegang amanah tersebut dengan perkara pertama adalah untuk merapatkan saf untuk menjalankan kerjasama lebih erat.

"Insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik sepanjang bergelar Ketua Pemuda Bahagian," katanya selepas pengumuman rasmi sayap Pemuda bahagian itu di Dewan Seri Tebrau, di sini malam semalam.

Dalam pemilihan itu, Syaiful Rizal memperoleh sebanyak 160 undi, menewaskan tiga calon lain iaitu Nornekman Osman (88), Musbah Yusof (61) dan Mohd. Tom Ghadafi Anwary (10).

Jawatan Naib Ketua Pemuda bahagian itu pula dimenangi Khairul Mohd. Amin (154) yang menewaskan Wan Saiful Bahri Wan Nawi (105) dan Azly Suhaimi Abdullah (44).

Seramai 309 perwakilan daripada 67 cawangan mengundi untuk memilih pemimpin sayap Pemuda bagi menerajui bahagian itu yang dikosong oleh Khalid Mohamed yang telah melepasi had umur.

Sementara itu, jawatan Ketua Puteri dan Naib Ketua Puteri bahagian itu dimenangi oleh Azura Mohd. Afandi dan Jamaeah Hashim yang menang tanpa bertanding.


Sumber - Utusan Malaysia

Tuesday 15 October 2013

Exco Baharu Pemuda UMNO Diajak Perkukuh Sayap

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin mengajak anggota jawatankuasa pergerakan itu yang baharu dipilih agar bersama-samanya memperkukuh sayap Pemuda berlandaskan ideologi progresif.

Katanya bakti yang ditabur kepada rakyat juga harus dilakukan dengan jujur dan ikhlas.

“Tak guna kita popular dalam parti tapi ditolak oleh rakyat. Akhirnya rakyat juga yang bakal menentukan kepimpinan negara,” katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Beliau juga berterima kasih kepada perwakilan yang mengundi beliau sehingga berjaya mempertahankan jawatannya untuk meneraju sayap itu bagi penggal baharu.

“Sokongan padu perwakilan di seluruh negara menginsafkan saya dan membuatkan saya sedar akan amanah dan tanggungjawab yang berat ini. Ini membuktikan perwakilan akar umbi menyokong agenda progresif dan politik penyelesaian yang saya amalkan selama ini,” katanya.

Khairy berkata kejayaan itu juga merupakan satu manifestasi bahawa sayap Pemuda utuh dan kekal bersatu.

“Saya yakin kesatuan ini akan memudahkan gerak kerja Pemuda dalam mendekati dan menyakinkan generasi muda amnya,” katanya lagi.


Dalam pemilihan yang berlangsung Sabtu lepas, Khairy dicabar oleh Syed Rosli Syed Harman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi,Irwan Ambak Khalid Izhar dan Abd Karim Ali bagi jawatan itu.

sumber: Pemuda